IPOH: Perak tidak boleh membatalkan hak milik tanah yang dicadangkan untuk dibangunkan sebagai lapangan terbang antarabangsa di Seri Iskandar.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata ini kerana proses perjanjian jual beli antara pemilik tanah berkenaan, Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) dengan sebuah syarikat swasta telah dilakukan secara sah sebelum ini.

Katanya, justeru itu, kawasan terbabit bukan lagi berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri dan terserah kepada syarikat berkenaan untuk melakukan sebarang pembangunan di situ.

Walau bagaimanapun, Saarani menjelaskan walaupun perjanjian jual beli tanah sudah berlangsung namun proses pertukaran nama pemilik masih belum berlaku.

"Sudah ada SNP setelah ada perjanjian jual beli. Cuma kita mengakui bahawa syarikat berkenaan belum membayar sehabisnya. Bila dia belum bayar habis lagi, kita tak boleh tukar nama. Kalau dia dah bayar habis, baru kita boleh tukar nama berasaskan kepada perjanjian SMP.

"Tetapi dari aspek jual beli, ia telah berlaku. Cuma tunggu pembayaran penuh, baru kita boleh tukar nama.

"Sebab itu bila Datuk Hamidah kata, nama masih lagi bawah PKNP, memang betul. PKNP tak boleh tukar nama selagi mana orang yang belum bayar penuh," katanya ketika ditemui pemberita selepas hadir pada sambutan Aidilfitri Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia negeri Perak di Kompleks Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, di sini pada Rabu.

Terdahulu Saarani diminta mengulas berkenaan dakwaan bahawa kerajaan Perak masih lagi boleh menyelamatkan tapak yang dicadangkan untuk dibangunkan lapangan terbang antarabangsa di Seri Iskandar daripada dijual kepada pihak swasta.

Dakwaan berkenaan dibuat Naib Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), Datuk Hamidah Osman.

Dalam satu laporan media, Hamidah berkata pihak berkuasa negeri mempunyai kuasa untuk mengekalkan tanah tersebut berdasarkan sekatan kepentingan ditetapkan.